Artikel

Yayasan Peneraju Sasar Latih 1,000 Bumiputera Sertai Kerjaya Teknologi – Menerusi YPXLR8

Melalui insiatif baharu YPXLR8 (YP Accelerate)Yayasan Peneraju kini menyasarkan seramai 1,000 individu bumiputera menyertai medium tersebut bagi meluaskan jejak kerjaya mereka ke dalam bidang teknologi di Malaysia. 

Program ini secara mudahnya menerapkan pendekatan tempatkan pekerja dan lalui latihan bersama syarikat terpilih untuk meningkatkan lagi kumpulan tenaga kerja mahir dalam bidang digital. Matlamat ini dilihat selari dengan Pelan Ekonomi Digital Malaysia serta dasar Revolusi Industri Keempat (4IR).

Di bawah inisiatif ini, peserta terpilih akan menerima sokongan kewangan sebanyak RM1,500 sebulan selama 8 bulan program ini berlangsung. Malah kumpulan ini turut akan meraih kredit latihan sekali beri sebanyak RM9,000 bagi memastikan latihan berkaitan kemahiran teknologi dilaksanakan.

Dengan pengenalan inisiatif tersebut, YP kini dalam usaha mengenalpasti rakan industri teknologi merangkumi bidang analitik digital, keselamatan siber, perisikan perniagaan untuk bersama pihaknya menyediakan peluang pekerjaan kepada perserta terlibat. Hasil penyertaan syarikat dalam bidang teknologi ini, dimaklumkan terdapat penyediaan pelbagai insentif akan diraih secara bersama.

Maka untuk pihak industri yang berminat menjadi syarikat hos di bawah YPXLR8 dialukan untuk mendaftar pada laman rasmi Yayasan Peneraju.