Bagi memastikan keperluan masyarakat setempat dipenuhi dengan lebih baik, kini pentadbiran tampil dengan pendekatan baharu iaitu melaksanakan sistem pengezonan bagi pengedaran minyak masak paket bersubsidi.
Untuk makluman umum, sistem ini telahpun dilaksanakan di Sabah serta Sarawak dan kini dilanjutkan ke Johor pula. Di mana langkah perluasan itu akan melibatkan 3,112 metrik tan kuota minyak masak paket bersubsidi bersama 19 syarikat pembungkus.
Pendekatan ini menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah untuk menjamin isu bekalan minyak subsidi mencukupi di kawasan berkaitan khususnya kawasan luar bandar. Berikutan itu, sistem pengezonan edaran minyak masak paket bersubsidi ini akan membolehkan syarikat pembungkus serta pemborong terlibat untuk mengutamakan agihan jualan kepada kawasan masing-masing.
Langkah ini sekaligus akan menyelesaikan isu kekurangan bekalan pada kawasan setempat dan mengatasi isu pengedaran minyak bersubsidi yang sering menjadi cabaran buat kumpulan logistik ke kawasan terpencil.
Secara menyeluruh, Malaysia telahpun menetapkan sejumlah 60,000 metrik tan atau 60 juta paket minyak masak bersubsidi selama sebulan di pasaran Malaysia dengan sokongan 330 pembungkus di seluruh negara. Maka dengan pelaksanaan sistem edaran mengikut zon ini dilihat akan memastikan perolehan minyak masak paket bersubsidi akan lebih telus tanpa menafikan hak kumpulan bersasar.