Artikel

CelcomDigi, MOF Inc, Maxis Dan YTL Power Ambil-Alih Kepentingan U Mobile Dalam DNB

Seperti yang dipersetujui pada akhir Jun tahun lalu, penstrukturan semula pada pegangan saham Digital Nasional Bhd (DNB) kini telah disahkan menerusi Surat Perubahan yang dicapai pada 13 Mei 2025. Menerusi pelarasan tersebut, ia bermakna U Mobile akan melupuskan kesemua 100,000 sahamya pada DNB dan ia akan diambil alih oleh pihak terlibat meliputi CelcomDigi, MOF Inc, Maxis dan YTL Power. 

Jelas makluman Bursa Malaysia, setiap syarikat yang terlibat akan peroleh saham tersebut pada harga RM1.00 sesaham dengan jumlah harga pengambilalihan sebanyak RM100,000.

Ia bermakna pecahan pengambilan saham akan perlihatkan MoF Inc satu saham (RM1), YTL 33,333 saham (RM33,333), CelcomDigi 33,333 saham (RM33,333) dan Maxis 33,333 saham (RM33,333).

Difaham aliran urus-niaga ini berpotensi diselesaikan pada 30 Mei 2025 kelak dan menerusi perubahan tersebut MoF Inc akan meningkatkan pegangan mereka dalam DNB kepada 41.67%, diikuti CelcomDigi, Macis dan YTL Power pula masing-masing dengan pegangan 19.44%.

Kenapa U Mobile Melupuskan Kepentingannya Dalam DNB?

Buat pengetahuan umum, tindakan U Mobile untuk melepaskan pegangannya dalam DNB adalah suatu langkah strategik yang membolehkan syarikat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelancaran rangkaian 5G kedua Malaysia kelak. Langkah ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk beralih kepada model dwi-rangkaian 5G.