Artikel

MSM Ingin Bangunkan Semula Industri Tebu Di Malaysia – Bagi Kurangkan Kadar Import Gula Mentah

MSM Malaysia Holdings, pengeluar gula bertapis utama negara kini memiliki rancangan untuk melaksanakan semula perladangan tebu di Malaysia – bagi mengurangkan kebergantungan negara pada bekalan gula mentah import.

Tindakan ini akan membantu Malaysia mengimbangi tekanan antaranya kesan perubahan iklim dan krisis geopolitik dunia yang dilihat berupaya meningkatkan risiko pembekalan dagangan import.

Buat pengetahuan jika berlakunya persekitaran sedemikian ia sekaligus akan meningkatkan persaingan harga dan kos penghantaran di peringkat pasaran. Situasi tersebut secara jelas akan menganggu rantaian bekalan Malaysia di pasaran global.

Setakat ini, MSM akui pihaknya bergantung 100% kepada gula mentah import dan ketika ini sedang mengkaji akan keupayaan operasi untuk memulakan semula perladangan tebu di pasaran tempatan.

Berdasarkan pemantauan semasa, Sarawak dan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia dilihat antara lokasi yang sesuai untuk pelaksanaan perladangan tebu bagi skala besar.

Selain inisiatif tersebut, MSM turut dalam pertimbangan meneroka potensi gula alternatif iaitu gula nira yang berasaskan palma – bagi mengurangkan lagi kebergantungan ke atas tebu. Usaha ini akan mempelbagaikan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia di masa hadapan sekiranya berdepan sebarang risiko global.