Artikel

Permohonan Sijil Halal Kini Secara Digital, Boleh Semak Melalui MYeHALAL – JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini memperkenalkan pelaksanaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik (e-Cert) kepada syarikat bermula 5 Mei 2025 lalu.

Tindakan ini selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan bersama pemain ekonomi negara.

Susulan pengenalan itu, bagi mana-mana syarikat yang telahpun memohon kelulusan sijil halal pada atau selepas tarikh 5 Mei tersebut maka permohonan tersebut akan diproses secara digital dan pemohon yang telah meraih pengesahan boleh mencetak sendiri SPHM melalui sistem MYeHALAL.

Sementara bagi syarikat yang ingin memiliki cetakan fizikal pula boleh berbuat demikian dengan kemukakan permohonan rasmi kepada JAKIM dan akan dikenakan bayaran selaras dengan Klausa 13, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

Secara menyeluruh, usaha ini jelas menunjukkan komitmen JAKIM dalam meluaskan khidmat mereka selari dengan perkembangan digitalisasi semasa. Langkah itu sekaligus akan meningkatkan lagi kecekapan dan kemudahan perkhidmatan awam pada arena ekonomi Malaysia.