Artikel

Bilangan Penduduk Bekerja Di Malaysia Meningkat – Kini 16.78 Juta Individu

Prestasi 3 bulan pertama tahun 2025 memaparkan pasaran tenaga buruh di Malaysia semakin berkembang – apabila meningkat 0.8% iaitu sekitar 131,400 pekerja. Pertumbuhan ini sekaligus menjadikan jumlah penduduk bekerja di Malaysia kian meningkat kepada 16.78 juta individu. 

Data Jabatan Perangkaan (DOSM) ini menjelaskan ia didorong hasil perluasan peluang pekerjaan di pasaran negara dan pertumbuhan ekonomi domestik yang semakin membrangsangkan.

Buat pengetahuan umum, sebahagian besar penduduk bekerja ketika ini adalah tertumpu pada sektor Perkhidmatan khususnya dalam arena Penginapan dan Perkhidmatan Makanan, Minuman diikuti Maklumat dan Komunikasi, serta arena Profesional, Saintifik dan Teknikal.

Dan berdasarkan pecahan itu, taburan mengikut pencapaian pendidikan didapati seramai 9.3 juta inidividu (55.7%) memiliki pendidikan menengah, 5.46 juta (32.8%) individu pula memiliki pendidikan tertinggi manakala 1.5 juta individu (9%) pula berpendidikan rendah dan 423,300 individu (2.5%) tiada pendidikan rasmi.

Sementara taburan mengikut status pekerjaan pula memperincikan seramai 12.7 juta individu (76.3%) adalah kumpulan pekerja, 2.9 juta individu (17.4%) pula kategori bekerja sendiri, 617,600 individu (3.7%) pula berstatus majikan dan 439,900 individu (2.6%) adalah pekerja keluarga tanpa gaji.

Hasil perluasan dan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh ini, ia secara langsung membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia – yang ketika ini berkadar 3.1% iaitu seramai 526,300 penganggur. Berdasarkan kategori itu, sepanjang 3 bulan rekod tersebut sejumlah 12,400 individu berjaya meraih peluang pekerjaan baharu.