Artikel

SC Minta Maklum Balas Awam – Berhubung Rangka Kerja Tokenisasi Produk Pasaran Modal

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) minggu ini telah mula mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang awam mengenai cadangan rangka kerja untuk produk pasaran modal yang ditokenkan.

Bagi penjelasan lanjut, Produk Pasaran Modal yang Ditokenkan merujuk kepada pewakilan digital produk pasaran modal yang menggunakan teknologi lejar teragih (DLT) seperti saham token, bon token dan dana token. Di mana produk pasaran modal yang ditokenkan ini hendaklah dibezakan daripada token digital dan mata wang digital susulan sudah tertakluk di bawah rangka kerja yang berasingan.

Maka menerusi kertas rundingan bersama cadangan orang awam ini, SC melihat ia berupaya meluaskan lagi pemahaman DLT pada pasaran modal khususnya kes penggunaan yang membolehkan aset boleh diprogram, pemilikan pecahan, peningkatan ketelusan dan kecekapan dalam penyimpanan rekod sambil memastikan pelindungan kumpulan pelabur.

Antara fokus maklum balas awam yang ingin diperluaskan adalah keperluan pendedahan, kawlaan tadbir urus dan keperluan rekod dan pendaftaran. Selain itu melibatkan pengurusan risiko teknologi seperti keselamatan siber, privasi data dan keupayaan operasi yang terlibat. Malah SC juga ingin melihat keperluan tambahan untuk individu yang berlesen yang berurusan dalam produk pasaran modal token.

Sehubungan itu semua pihak dialukan untuk berkongsi maklum balas berhubung rangka kerja ini termasuklah kumpulan bakal pengeluar, pengatara berlesen, penyedia khidmat teknologi, pelabur, perundangan dan persatuan industri. SC menjelaskan tempoh perundingan ini telahpun bermula sejak 6 Mei lalu sehingga 16 Jun 2025 kelak. Untuk ketahui lanjut, semua pihak boleh merujuk pada terbitan kertas perundingan di laman SC.