Artikel

Bank Rakyat, Mastercard Perkenal Touch Card – Kad Bank Rekaan Lekuk Khas Buat Pengguna OKU Penglihatan

Bank Rakyat bersama Mastercard kini meluaskan langkah kerjasama mereka apabila secara rasminya perkenalkan Touch Card di pasaran Malaysia.

Kad sentuh ini untuk makluman adalah kad bank yang berbeza dari kebiasaan di mana ia memiliki reka bentuk khusus lekuk khas bagi memudahkan pengguna yang memiliki masalah penglihatan mahupun OKU penglihatan untuk mengetahui jenis kad bank mereka dengan sentuhan pada rekaan tersebut.

Terdapat 3 reka bentuk khas disediakan oleh Bank Rakyat – di mana lekuk bulat adalah untuk kad debit, lekuk petak untuk kad kredit dan lekuk segitiga pula untuk kad prabayar.

Adanya perbezaan jenis lekuk pada kad bank ini, ia sekaligus memudahkan para pengguna OKU penglihatan untuk membezakan penggunaan kad bank mereka terutamanya ketika urus-niaga berlangsung. Buat pengetahuan umum akses ini berpotensi memudahkan urusan hampir 64,000 individu OKU penglihatan di Malaysia mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) semasa.

Maka bersempena pengenalan itu, Bank Rakyat telah bersama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk meluaskan lagi manfaat disebalik penggunaan kad bank tersebut. Tidak sekadar itu, 30 pemegang terawal Touch Card ini turut dimaklumkan akan menerima insentif sebanyak RM200 menerusi Kad Debit-i Bank Rakyat bagi tempoh terhad.