Malaysia menjangkakan aliran trafik dalam tempoh dua tahun lagi akan dilihat lebih lancar susulan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi dimulakan pada Januari 2027 untuk fasa pertama.
Ketika ini tahap kemajuan ECRL telahpun mencapai 82.45% merentasi pembinaan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Di mana pemasangan landasan sepanjang 400 kilometer melibatkan laluan Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan telahpun selesai dan selanjutnya pemasangan landasan bagi laluan Maran ke Bentong sepanjang 100 kilometer pula akan dilaksanakan pada Mei ini.
Menurut pengamatan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), pembinaan bagi fasa pertama melibatkan laluan dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG) berupaya disiapkan selari dengan penjadualan iaitu sekitar Disember 2026. Manakala jajaran fasa kedua libatkan laluan Gombak dan Pelabuhan Klang pula berpotensi direalisasikan pada akhir 2027 kelak.
Buat pengetahuan umum, adanya kemudahan ECRL ini ia tidak sekadar memperlihatkan aliran trafik lebih lancar tetapi turut memberi penjimatan masa berganda kepada orang awam. Ini berikutan pergerakan tren pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam akan membawa kepada masa perjalanan dari Kota Bharu ke TBG selama 4 jam sahaja.