Biarpun telah melaras naik harga produk pada April lalu, Eco-Shop dilihat terus mengukuhkan kedudukan mereka apabila menguasai sekitar 67.8% pasaran kedai harga rendah di Malaysia dengan memiliki lebih 300 cawangan di pasaran semasa.
Kedudukan ini menurut nota penyelidikan TA Securities berdasarkan data Euromonitor – sekaligus menjadikan ia selaku peneraju runcit kos rendah tempatan pilihan ramai berikutan penempatan produknya tidak sekadar menjimatkan kos kepada pengguna bandar bahkan turut meliputi kawasan luar bandar serta pinggir bandar.
Seperti yang umum ketahui, Eco-Shop kini dalam proses disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada pertengahan 17 Mei ini. Langkah penyenaraian ini dilihat bertepatan untuk mengukuhkan penyertaan mereka di pasaran susulan model perniagaan runcit berkadar rendah dilihat kukuh dan memiliki potensi pertumbuhan jangka panjang.
Selain pelaksanaan itu, Eco-Shop turut merancang melabur pada kemudahan pengedaran berpusat baharu di Lembah Klang yang dijangka akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran dan kecekapan logistik mereka pada akhir 2025 ini.
Tidak sekadar itu, kumpulan turut merancang menambah 150 cawangan baharu dalam tempoh 3 tahun di pasaran Malaysia.