Artikel

PayNet Melancarkan Hab Fintech – Pacu Arena Kewangan Bersama Sokongan 45 Rakan Strategik

Payment Network Malaysia (PayNet) hari ini secara rasminya melancarkan PayNet Fintech Hub iaitu medium buat komuniti, startup dan pemacu industri teknologi kewangan di pasaran tempatan negara.

Platform ini menurut Farhan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, akan memacu pertumbuhan fintech di Malaysia dengan menyediakan akses terus kepada modal, rangkaian industri utama, insentif kewangan, serta peluang pembelajaran dan bekerjasama dengan pemain global terkemuka.

Pelaksanaan platform ini adalah seiring untuk memastikan Malaysia dapat menyaingi perubahan pantas sektor perkhidmatan kewangan yang berlaku disebabkan perkembangan ketara susulan penerapan kecerdasan buatan (AI) pada ekosistem ekonomi semasa.

Sebagai penjelasan lanjut, hab ini terbuka kepada umum dan ia hanya tertumpu kepada dua kumpulan sahaja iaitu Komuniti dan Pemangkin (catalysts).

Di mana dengan akses selaku ahli komuniti hab ini, pemain fintech terpilih berpeluang meraih bimbingan secara langsung selama lebih 450 jam bersama rangkaian pengasas dan pakar industri, peluang kerjasama dengan pemain korporat utama daripada sektor perbankan, pembayaran, dan teknolog serta sokongan penilaian bersama rakan pelabur fintech yang lain.

Malah sokongan kewangan turut tersedia buat kumpulan terpilih – antaranya akses kredit nilai tambahan PayNet berjumlah lebih RM1 juta, khidmat nasihat tajaan bernilai lebih RM600,000 yang meliputi bidang perundangan, kewangan, sumber manusia, dan penyelidikan pasaran dan selanjutnya akses kredit awanan sehingga RM3 juta serta sokongan daripada penyedia perkhidmatan awanan utama.

Sementara tumpuan pada kumpulan di bawah program Catalysts pula akan miliki kelebihan istimewa – di mana syarikat startup tempatan terpilih akan menerima pendedahan antarabangsa. Kelebihan ini meliputi pendedahan bimbingan, sumber dan akses fintech di peringkat global.

Yang mana akses ini akan memperlihatkan sokongan dari rakan startegik AWS Startup dan Imperial College London.

Selain sokongan kedua rakan strategik ini, platform ini turut akan perlihatkan sokongan daripada 43 rakan strategik lain – antaranya Google Cloud, MDEC, Cradle, Microsoft, Tencent Cloud, Vase.ai, FinKnight, dan Worq.