Artikel

AS Sedia Laksana Rundingan Lanjut, Tarif Ke Atas Malaysia Berpotensi Lebih Rendah – PM Anwar

Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) kini memaklumkan persetujuan untuk laksana rundingan lanjut bersama Malaysia – berhubung pengenaan tarif import yang diumumkan pada 2 April lalu.

Lanjutan rundingan ini dijangka berpotensi mengurangkan penetapan tarif import yang dikenakan ke atas barangan Malaysia sekitar 24% pada pasaran semasa kelak. Bagaimanapun rundingan itu masih diperingkat awal dan semakan masih belum dimuktamadkan kedua pihak.

Perkongsian Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan (MOF) ini dijelaskan pada sidang khas di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu tarif import yang berlaku bersama AS – di mana negara menyanggah sekerasnya berhubung pengiraan AS yang memaklumkan Malaysia mengenakan tarif 47% ke atas import AS sebaliknya hanyalah sekitar 5.6% sahaja.

Selain makluman itu, ASEAN juga senada dan bersetuju untuk tidak mengambil tindakan balas kepada AS namun kekal berprinsip memilih untuk laksana semakan di meja rundingan bersama AS bagi mengurangkan tekanan tarif import tersebut.