Artikel

CIMB Bank Beli 16 Hartanah KWSP Pada Nilai RM209.8 Juta

CIMB Bank, anak syarikat CIMB Group kini dimaklumkan akan membeli 16 hartanah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada nilai tunai RM209.81 juta.

Makluman kepada Bursa Malaysia minggu lalu ini menjelaskan CIMB Bank telahpun memajak 24 hartanah daripada KWSP di bawah perjanjian pajakan sejak akhir Disember 2009 yang dijangka tamat pada 30 Jun 2025.

Berdasarkan urus-niaga itu, CIMB Bank pada 30 April lalu telahpun memeterai 16 perjanjian jual beli (SPA) untuk perolehan 16 daripada 24 hartanah tersebut daripada KWSP. Perolehan hartanah ini difahamkan digunakan untuk segmen perniagaan perbankan mereka.

Sementara baki melibatkan 8 hartanah pula, CIMB Bank telah bersetuju untuk membeli semula lapan hartanah tersebut berdasarkan harga yang ditetapkan oleh penilai bebas sekiranya KWSP tidak dapat menjualnya kepada pihak ketiga.