Malaysia kini dalam kerjasama untuk mewujudkan perkhidmatan kereta api kargo yang menghubungkan secara terus antara Kuala Lumpur ke Bangkok di Thailand. Sasaran ini tidak sekadar meningkatkan pertumbuhan perdagangan kedua-dua negara tetapi turut mengukuhkan integrasi ekonomi pada rantau ASEAN.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), cadangan itu ketika ini telah meraih sokongan kabinet negara dan dijangka dapat dimulakan pada tahun ini.
Sementara pertimbangan bersama pentadbiran Thailand ketika ini masih diperingkat awal dan ketika ini telah mendapat maklum-balas yang positif hasil lawatan MOT ke Thailand minggu lalu bersama Menteri Pengangkutan Thailand merangkap Timbalan Perdana Menteri Thailand – Suriya Juangroongruangkit.
Buat pengetahuan umum ketika ini khidmat tren Thailand hanya sampai di destinasi Golok, Kelantan maka jika pihak mereka dapat merentasi sempadan ke Rantau Panjang – perihal ini akan meningkatkan potensi ekonomi kedua buah negara. Potensi itu akan diteliti bersama Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulihara kembali laluan landasan yang terlibat.
Dengan usaha ini, ia secara langsung turut akan merealisasikan matlamat Malaysia-Thailand untuk menyediakan khidmat kargo pada laluan yang sama. Jelas MOT perincian lanjut berhubung perlaksanaan ini akan memperlihatkan kepakaran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dan State Railway of Thailand (SRT).
Bersama sokongan kedua pihak, Malaysia optimis usaha ini tidak sekadar memberi kelebihan pada sudut ekonomi bahkan turut akan menjadi produk pelancongan buat Malaysia-Thailand di pasaran hadapan.