Artikel

Permintaan Durian Malaysia Di China Terus Meningkat – Jangka Melonjak 20% Tahun Ini

Biarpun berdepan cabaran akan ketidaktentuan cuaca, aliran eksport durian Malaysia ke China dilihat akan terus meningkat pada tahun ini – di mana berpotensi mencapai 20% pertambahan permintaan pada pasaran China berbanding tahun lalu.

Aliran positif ini menurut Dewan Perniagaan Industri Malaysia di China (MayCham) susulan permintaan pengguna di pasaran China telah meningkat dan mengatasi bekalan yang telah disalurkan – antaranya kategori premium melibatkan bekalan Musang King dan D24.

Perihal ini didasari akan penetapan harga kedua bekalan yang dilihat terus tinggi pada pasaran China. Menurut MayCham, sukar untuk mendapatkan bekalan Musang King Gred A di bawah RM30 sekilogram pada harga ladang. Dan paras harga di luar musim pula berupaya meningkat kepada RM80 sekilogram. Sementara D24 pula memperlihatkan harga paling rendah yang boleh diraih pengguna adalah sekitar RM15 sekilogram.

Secara menyeluruh, untuk tahun 2024 China telah mengimport sejumlah 19.25 juta kilogram durian dari Malaysia dengan nilai $212.05 juta. Menerusi permintaan itu, tahun 2025 dijangka akan terus memaparkan peningkatan berganda meskipun memiliki persaingan permintaan beberapa negara lain.