Artikel

1.86 Juta Rakyat Malaysia Telah Berhijrah Ke Luar Negara – Dalam Tempoh 50 Tahun 

Dalam tempoh 50 tahun lalu, didapati sejumlah lebih 1.86 juta rakyat Malaysia telah memilih untuk berhijrah ke luar negara susulan peluang pasaran ekonomi yang lebih baik mahupun tuntutan tertentu.

Angka ini menurut perkongsian Menteri Digital Gobind Singh adalah mewakili 5.6% daripada populasi negara – biarpun kelihatan kecil namun peratusan itu adalah lebih tinggi berbanding purata hijrah peringkat global yang mencatatkan paras 3.6%.

Maka untuk melandaikan pilihan tersebut dan menjadikan ekosistem ekonomi Malaysia sebagai pilihan utama bakat tempatan – pelbagai inisiatif wajar diketengahkan. Antara yang kini sedang dipergiatkan adalah Malaysia Digital Economy Blueprint (MDEB) yang meliputi pelan pembangunan bakat digital pada setiap lapisan masyarakat.

Tidak hanya itu, Malaysia juga dalam usaha mengerakkan National Semiconductor Strategy yang bagi meraih 60,000 jurutera semikonduktor dengan tahap kemahiran tinggi. Selain itu, perluasan zon ekonomi khas di Malaysia turut menjadi fokus utama pentadbiran dalam meluaskan lagi minat kemasukan pelaburan asing dalam sebilangan sektor ekonomi.

Adanya usaha sedemikian ia tidak sekadar mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bersama peluang pelaburan ekonomi baharu tetapi turut meningkatkan keyakinan bakat tempatan untuk kembali berkhidmat kepada negara serta menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan utama di pasaran global.