Seperti yang umum sedari, pada akhir tahun lalu Luno Malaysia telah mengumumkan penawaran staking patuh syariah dilaksanakan pada kriptowang Ethereum (ETH) buat kemudahan pelabur digital beragama Islam. Hasil tindakan itu, ternyata meraih perhatian ramai pihak akan komitmen Luno untuk meningkat akses pelaburan digital bersama pemain muslim.
Akan tetapi perlu diakui, masih ramai pihak tidak memahami akan pelarasan prinsip patuh syariah pada fungsi stake libatkan ETH ini. Maka berdasarkan situasi itu, Luno Malaysia diwakili Amalina Tarmizi, Pegawai Am Kanan Luno Malaysia kini secara eksklusifnya berkongsikan makluman peranan akan fungsi stake patuh syariah bersama Rnggt. Mari kita fahami fungsi stake dengan lebih mendalam~
Stake Bantu Pengguna Kembangkan Pegangan Kripto Dengan Mudah
Buat pengetahuan umum, ciri Stake (staking) pada aplikasi Luno berfungsi untuk membantu pelabur mengembangkan pegangan kriptowang mereka di pasaran. Dengan ‘mengunci’ sejumlah kriptowang pada rantaian blok untuk suatu tempoh maka pengguna akan meraih ganjaran tambahan pada tindakan pelaburan tersebut.
Namun perlu diingatkan perolehan ganjaran tersebut tidak tetap dan tertakluk pada perubahan pasaran semasa – ini didasari akan sentimen permintaan, aktiviti dalam rangkaian Stake serta jumlah peserta yang terlibat dalam fungsi Stake ini. Malah pelabur juga tidak perlu risau berikutan fungsi Stake ini bersifat fleksibel, di mana pelabur boleh menarik semula penyertaan mereka pada bila-bila masa dan kemudiannya boleh menjual, meniagakan atau menghantar kriptowang seperti biasa.
Lebih menarik dengan serendah RM1 sebagai Stake, pelabur turut layak menerima ganjaran daripadanya. Tetapi seperti yang dijelaskan, perolehan ganjaran tertakluk akan kapasiti penyertaan pelabur dan sentimen pasaran semasa kriptowang.
Keuntungan Stake – Tidak Libatkan Unsur Riba, Gharar Dan Maisir
Luno turut menjelaskan penawaran Stake ETH berlandaskan prinsip Patuh Syariah ini telahpun didasari semakan bersama pihak berkepentingan. Antaranya melibatkan semakan oleh syarikat penasihat syariah Amanie Advisors. Menerusi kepakaran dan piawaian pasaran, Armanie Advisors telah memberi jaminan bahawa fungsi stake ETH Luno tidak melibatkan sebarang penglibatan unsur-unsur ribar, gharar mahupun maisir.
Tidak sekadar proses semakan itu, para pengguna Luno Malaysia turut dibolehkan menyemak sijil pengiktirafan patuh syariah dari Armanie Advisors pada laman rasmi Luno Malaysia.
Stake Juga Berdepan Rugi, Risiko – Namun Nilai Ganjaran Kekal Diterima Berdasarkan Unit ETH
Setiap pelaburan pastinya ada risiko kerugian. Di mana fungsi Stake dijelaskan tidak terkecuali dari risiko kerugian atas beberapa sebab – antaranya risiko masa henti (downtime) dan risiko slashing.
Buat pengetahuan umum, Luno telah memilih pengesah atau penyedia perkhidmatan fungsi Stake yang memiliki reputasi tinggi dan dipercayai – iaitu dikenali sebagai BlockDaemon. Penyedia ini dijelaskan memiliki reputasi dan memastikan nod-nod pengesah yang terlibat dalam pengurusan transaksi di bawah Stake dengan beroperasi 99.9% uptime. Ia bermakna pemantauan penyedia ini adalah 24 jam dan memiliki nod sokongan ataupun sandaran untuk membantu operasi jika berlakunya sebarang masalah.
Kualiti penyedia ini penting susulan dalam mengurangkan risiko downtime akan penyertaan pelabur di dalam fungsi Stake. Ini kerana jika penyedia memiliki isu sambungan atau berada di luar talian, maka situasi ini akan mengakibatkan berlakunya penalti masa turun. Di mana Luno berpotensi kehilangan peratusan kecil dari kripto yang dijadikan Stake.
Manakala risiko slashing pula, berpotensi berlaku sekiranya penyedia laksana pengesahan transaksi secara berganda tanpa sengaja pada masa yang sama atau cubaan penyedia untuk ubah data sejarah rantaian blok – maka tindakan ini akan dikategori sebagai menyalahi peraturan yang ditetapkan di bawah fungsi Stake. Kesalahan ini sekaligus akan menyebabkan penyedia dikenakan slashing. Tindakan itu akan menyebabkan kerugian kripto yang lebih besar berlaku berbanding penalti downtime.
Secara menyeluruh, segala risiko dalam pelaburan berpotensi untuk kekal berlaku, termasuklah ke atas syarikat penyedia atau pengesah yang memiliki reputasi tinggi sekalipun. Maka untuk menghindari sebarang pencanggahan makluman, Luno telah menuntut semua pelabur untuk menerima sebarang risiko yang berpotensi berlaku sebelum membenarkan mereka menyertai fungsi Stake ini.
Berbalik kepada persoalan risiko kerugian pula, dalam fungsi Stake sebagai contoh bagi penglibatan Stake ETH – Luno menjelaskan penggunaan unit telah diselaraskan dalam fungsi Stake. Ini bermakna pelaburan tersebut tidak dilaksanakan dalam nilai Ringgit Malaysia (RM) yang dilihat boleh berubah dalam pasaran kesan naik turun nilainya.
Penjelasan itu membawa erti jika pengguna menjadikan 1 ETH sebagai Stake maka ganjaran yang akan diterima juga adalah berbentuk unit ETH. Perihal ini turut terpakai ke atas pelabur yang ingin menarik semula penyertaan mereka dalam fungsi Stake. Di mana mereka akan meraih kembali 1 ETH pada dompet kripto mereka seperti biasa.
Ini Cara Untuk Jadikan Kripto Sebagai Stake Pada Aplikasi Luno
Untuk terlibat pada fungsi Stake, pengguna Malaysia perlu memiliki aplikasi Luno terlebih dahulu – di mana setelah memasuki aplikasi tersebut, para pengguna boleh pergi ke bahagian atas skrin Portfolio dan memilih ciri Stake. Pada langkah tersebut pengguna diarahkan untuk membuat deposi atau membeli kripto sekiranya dana semasa dalam dompet kripto anda tidak mencukupi untuk dijadikan Stake.
Selepas memenuhi kriteria tersebut dan memahami risiko disebalik penyertaan Stake sebagaimana yang telah dimaklumkan Rnggt pada makluman di atas. Maka pengguna kini melepasi kriteria untuk menjadikan kripto anda sebagai Stake dan menerima ganjaran dalam masa terdekat.