Para penumpang AirAsia kini memiliki kebebasan dalam mengatur perjalanan mereka, susulan pengenalan ciri Easy Cancel pada medium tempahan AirAsia MOVE. Ciri ini untuk makluman membenarkan para penumpang membatalkan penerbangan mereka sehingga tempoh 48 jam sebelum waktu berlepas.
Lebih menarik, pembatalan itu akan memproses bayaran balik kos penerbangan pengguna dalam masa 10 hari sahaja.
Ciri ini dijelaskan hanya eksklusif tersedia pada aplikasi AirAsia MOVE sahaja. Adanya ciri ini ia akan memudahkan rancangan perjalanan para penumpang sekiranya berlaku perubahan di saat akhir. Menerusi Easy Cancel, penumpang boleh memilih pilihan bayaran balik antara 80% dan 100% – ini termasuklah kos tambahan seperti bagasi, makanan, dan caj lain.
Namun perlu difahami, akses Easy Cancel ini hanya boleh ditebus ketika para pengguna melakukan tempahan di aplikasi AirAsia MOVE dan menambah ciri Easy Cancel. Jika ciri ini tidak ditambah pada sesi tempahan tiket maka pulangan kos untuk sebarang pembatalan perjalanan tidak akan diraih sebagaimana yang dilampirkan di bawah manfaat Easy Cancel.
Berdasarkan perkongsian sesi media bersama Rnggt hari ini, ciri Easy Cancel tersedia untuk semua laluan AirAsia kecuali ke laluan Korea Selatan dan domestik Indonesia. Perihal ini kerana mana-mana tempahan pada laluan tersebut telahpun memiliki manfaat pulangan kos sekiranya pembatalan perjalanan berlaku.