Artikel

Perluasan Skop Cukai SST Kini Ditangguhkan – Akan Dilaksana Pada 1 Jun Ini

Seperti yang umum ketahui, pentadbiran pada Belanjawan 2025 telahpun memaklumkan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan pada 1 Mei ini. Namun tindakan tersebut akan ditangguhkan selama sebulan – di mana ia akan dikuat kuasa pada 1 Jun kelak.

Perihal ini mengikut laporan TheEdge susulan garis panduan dan skop SST masih lagi diperhalusi dan perincian pelaksanaannya akan dimuktamadkan kelak.

Maka berdasarkan pertimbangan tersebut, pewartaan perubahan cukai baharu ini kini dijadualkan pada 1 Jun 2025. Tindakan ini telah disahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi makluman Kementerian Kewangan (MOF).

Biarpun masih tiada perincian lanjut akan pengembangan yang akan dilaksanakan SST – namun sebagaimana yang digariskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini – tindakan itu akan memperlihatkan kenaikan cukai jualan ke atas barangan premium seperti makanan import salmon dan alpukat. Manakala cukai perkhidmatan pula akan diperluaskan meliputi khidmat komersial antara perniagaan yang sebelum ini dikecualikan khsusunya khidmat yang berasaskan pengenaan caj tambahan.