Artikel

Kaspersky Beri Amaran – Tidak Semua Kod QR Selamat

Penggunaan kod respons pantas (QR) pada pasaran Malaysia kini dilihat semakin rancak – tidak sekadar melibatkan pertukaran maklumat, transaksi perbankan tetapi kini turut diguna pakai sebagai pendekatan penipuan.

Jelas tinjauan Kaspersky, penipuan kod QR kini muncul sebagai bentuk ancaman baharu kepada pengguna di Malaysia. Di mana penipuan ini berlaku kesan tindakan menggantikan kod QR yang sah kepada kod palsu. Sekaligus menyebabkan risiko kecurian data dan maklumat kewangan pengguna.

Buat pengetahuan umum mengikut laporan Global Overview Digital 2025, Malaysia duduki tempat kedua setelah China dari segi penggunaan kod QR, dengan 66.1% penduduk aktif menggunakannya.

Dengan peratusan ini, ia secara langsung mencerminkan penggunaan kod QR di Malaysia terus meluas dan potensi risiko juga semakin meningkat. Berdasarkan rekod PDRM – Bukit Aman melaporkan sebanyak 12,110 kes penipuan dalam talian direkodkan di seluruh negara pada suku pertama 2025, membabitkan kerugian RM573.7 juta, berbanding 10,715 kes bernilai RM519.9 juta pada suku terakhir 2024. Jumlah ini termasuklah isu penipuan berkaitan penggunaan kod QR.