Artikel

Pengguna EV Kini Boleh Bayar Guna Kad Kredit Maya Visa Alliance Bank – Pada Aplikasi JomCharge

Setelah melancarkan beberapa edisi kad kredit maya di pasaran – Alliance Bank kini tampil dengan langkah strategik baharu bersama pemain kenderaan elektrik (EV) iaitu JomCharge, dengan membolehkan pengguna EV miliki kad kredit maya bersama ciri nombor kad boleh ubah.

Di mana ia tidak sekadar menambah sokongan pembayaran tetapi turut menampilkan beberapa tawaran serta ganjaran menarik bagi setiap pembayaran menggunakan VCC Alliance Bank.

Antaranya bagi pengguna EV yang masih belum memiliki akses kad kredit maya ini maka permohonannya boleh dilaksana secara terus pada aplikasi dengan memilih butang kad maya yang tersedia di aplikasi JomCharge. Setelah permohonan berjaya, pengguna EV akan meraih pengecualian fi kad kredit tahunan, diikuti 20% rebat serta perolehan RM100 kredit pada aplikasi.

Lebih menarik, menerusi akses ini pengguna boleh menjana 16 digit nombor kad kredit ini secara rawak bagi setiap transaksi. Langkah yang dinamakan sebagai Nombor Kad Dinamik ini untuk makluman boleh dilaksanakan pada setiap transaksi berbeza. Antaranya pembayaran untuk bil, penstriman mahupun dompet digital. Maka dengan akses itu, ini bermakna pengguna boleh menjana Nombor Kad Dinamik Kad Kredit Maya Alliance Bank secara khusus bagi transaksi di aplikasi JomCharge!