Artikel

MAVCOM Terima 2,581 Aduan Libatkan Syarikat Penerbangan – Malaysia Airlines, AirAsia Dan Batik Air Antara Tertinggi

Separuh kedua tahun lalu, ternyata memperlihatkan peningkatan pada rekod aduan melibatkan syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia. Data di bawah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ini memperinci sebanyak 2,613 aduan telah dicatatkan pihaknya dengan 2,581 aduan berkaitan syarikat penerbangan manakala 32 aduan pula melibatkan isu khidmat di lapangan terbang Malaysia.

Berdasarkan jumlah menyeluruh, syarikat penerbangan yang paling tinggi menerima aduan pada tempoh tersebut adalah Malaysia Airlines dengan 921 (35%) aduan, diikuti AirAsia 611 (23%) dan Batik Air pula dengan 437 aduan (17%).

Namun berbeza dengan kategori melibatkan jumlah aduan tertinggi bagi setiap 1 juta penumpang pula ternyata memperlihatkan Firefly berdepan 256 aduan, Malaysia Airlines dengan 142 aduan dan Batik Air pula 111 aduan.

Data itu antaranya memperincikan jenis aduan yang berlaku adalah susulan isu pembatalan penerbangan, perubahan waktu penerbangan, kesalahan dalam pengendalian bagasi serta kelewatan penerbangan.