Santan, jenama makanan serta minuman di bawah Capital A kini secara rasminya mengumumkan peralihan penggunaan bungkusan kepada bahan mesra alam bagi menggantikan penggunaan plastik sekali guna yang digunakan sebelum ini di dalam arena penerbangan.
Menerusi pengumuman itu, semua barangan pakai buang dalam penerbangan seperti cawan, penutup dan alatan makanan kini diperbuat daripada Asid Polilaktik (PLA) iaitu bahan yang bersumberkan jagung dan ubi kayu. Di mana bahan ini lebih cepat terurai dan dengan peralihan bahan pembungkusan ini, bungkusan keluaran Santan boleh dikompos di mana jua susulan pilihan pelupusan yang lebih mesra alam kepada penguna.
Ketika ini peralihan tersebut telah mula dijalankan di pasaran Malaysia dan Thailand, selanjutnya akan diperluaskan ke seluruh rangkaian AirAsia – yang melibatkan 7 syarikat penerbangan lain. Adanya langkah ini, AirAsia menjangkakan sekitar 500 tan karbon dapat dikurangkan setiap tahun untuk pasaran di Malaysia dan Thailand.