Setelah diiktiraf selaku pemegang saham terbesar Affin Bank, dengan miliki 31.25% kepentingan – Sarawak kini dilihat ‘berminat’ untuk meraih pegangan pada satu lagi perbankan.
Menurut laporan The Edge ini, tinjauan Sarawak itu terarah pada AmBank Bhd, di mana menurut sumber laporan sekiranya langkah itu berjaya direalisasikan terdapat potensi dua bank ini digabungkan. Sebagai perincian, kerajaan Sarawak diperhatikan telah menghubungi wakil Tan Sri Azman Hashim yang merupakan pengasas AmBank bagi pertimbangan perolehan kepentingan tersebut.
Untuk makluman, Tan Sri Azman memiliki sekitar 11.83% kepentingan pada AMMB Holding – di mana ia merangkumi AmBank, AmInvestment Bank, dan AmBank Islamic.
Namun difahamkan fasa perundingan itu masih tidak dimuktamadkan berikutan isu penetapan harga dan langkah Sarawak yang ingin mengetuai entiti baharu hasil gabungan kedua bank tersebut. Jika rundingan ini berjaya, terdapat potensi menjadikan bank tersebut sebagai kumpulan perbankan ke-4 terbesar dari aspek aset di pasaran Malaysia.
Selain AmBank, terdapat dua lagi institusi kewangan yang sedang ditinjau Sarawak untuk langkah gabungan tersebut. Antaranya pertimbangan miliki kepentingan pada Bank Muamalat dan Kuwait Finance House (KFH). Akan tetapi laporan menyifatkan kedua bank ini bukanlah pilihan utama pentadbiran negeri.
Bagaimanapun situasi yang didepani Bank Muamalat dan KFH dilihat lebih kukuh untuk menjadi pilihan Sarawak. Susulan DRB-Hicom perlu mengurangan kepentingan mereka kepada 40% dalam Bank Muamalat sebagaimana yang disarankan Bank Negara Malaysia (BNM), manakala KFH pula akan menamatkan operasi mereka di Malaysia maka keperluan ambilalih portfolio pinjaman mereka sedang dilaksanakan.