Sepertimana yang dizahirkan pada akhir tahun lalu, Eco-Shop – penyedia barangan runcit dan kediaman mampu-milik kini memberi gambaran akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) iaitu penyenaraian pada Pasaran Utama, Bursa dalam beberapa minggu sahaja lagi.
Usaha ini dilihat akan menyokong pertumbuhan operasi untuk meningkatkan keupayaan, meluaskan jejak perkhidmatan mereka di pasaran Malaysia yang ketika ini memiliki 358 cawangan Eco-Shop termasuklah 22 cawangan di bawah konsep Eco-Plus. Dengan sokongan IPO, operasi menjangkakan pertambahan 70 cawangan baharu setiap tahun dapat dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.
Gambaran itu telah dikongsikan pada sidang hari ini yang memaparkan perjanjian taja jamin antara Eco-Shop bersama Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).
Menerusi pengukuhan itu, langkah IPO ini akan melibatkan sehingga 862.146 juta saham di mana terdiri daripada 675.368 juta saham bagi tawaran institusi dan 186.778 juta saham pula untuk tawaran runcit. Di mana selepas pelaksanaan IPO ini pegangan ke atas pengasasnya iaitu Datuk Seri Lee Kar Whatt akan menurun kepada 73.9% manakala Creador mengawal baki kepentingan.
Selain tumpuan pelaksanaan IPO itu, Eco-Shop pada perkembangan semasa kini telah bertindak melaras naik harga jualan produknya daripada RM2.40 kepada RM2.60 berkuat kuasa 14 April 2025 lalu. Peningkatan ini susulan kos operasi berdepan lonjakan maka pelarasan harga produk dikemaskini semula bagi memastikan pertumbuhan operasi kekal relevan.