Artikel

Akses Ke KLIA Terminal 2 Akan Ditutup Sementara Pada 15 April Dan 17 April Ini – Sempena Lawatan Presiden China

Perhatian buat rakyat Malaysia, dimaklumkan pada 15 April 2025 dan 17 April 2025 ini – akses untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 akan ditutup kepada kenderaan. Penutupan sementara ini untuk makluman adalah bersempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Makluman Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperincikan penutupan sementara itu akan melibatkan bahagian ketibaan dan tempat letak kenderaan di KLIA Terminal 2.

Ini bermakna KLIA Terminal 2 hanya boleh diakses melalui KLIA Transit dari Terminal 1. Susulan itu, penumpang yang tiba di Terminal 2 dikehendaki menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 bagi melanjutkan perjalanan ke seterusnya.

Sebagai penjelasan untuk pengguna, penutupan jalan sepenuhnya ini akan dilaksanakan pada 15 April 2025 bermula jam 6 petang hingga 7 malam dan pada 17 April 2025 bermula jam 8.50 pagi sehingga 9.50 pagi. Penutupan ini meliputi laluan Lebuh KLIA, Lebuh ELITE, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang, Jalan P5.

Dengan makluman ini, semua penumpang diminta merancang perjalanan pengguna bagi mengelakkan berlakunya kesesakan dan kelewatan.