Pelan Hala Tuju Gas Negara kini difasa akhir untuk dimuktamadkan, di mana ia berupaya dilancarkan pada tahun 2025 – bagi mengurangkan bebanan Petronas yang ketika ini berdepan penurunan rizab gas asli cecair (LNG) di pasaran semasa.
Buat pengetahuan umum, ketika ini mana-mana syarikat boleh mengimport (LNG) untuk dijual ke pasaran tetapi situasi ketika ini menjelaskan syarikat lain tidak berminat akan tindakan tersebut dan didapati hampir keseluruhan pengimportan LNG ke pasaran domestik direkodkan dilaksanakan oleh Petronas.
Persekitaran ini secara langsung telah mengakibatkan beban kepada Petronas terus meningkat dengan kebergantungan negara ke atasnya semata. Jelas notis Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada laman Facebook -nya hari ini – sekiranya harga yang diimport Petronas itu lebih tinggi daripada laras harga yang dijual di pasaran maka Petronas terpaksa menanggung kerugian yang tinggi.
Perihal ini yang dilihat meningkatkan lagi bebanan syarikat cari gali tersebut.
Susulan dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Negara kelak, ia dilihat dapat merancakkan lagi rantaian nilai gas domestik, berikutan Malaysia terpaksa mengimport lebih banyak LNG selepas ini susulan pengeluaran Malaysia semakin berkurangan. Adanya medium pelan tersebut maka akan lebih banyak syarikat menceburi pedagangan gas dan mengimport LNG. Langkah itu sekaligus akan membantu kedudukan Petronas dan Malaysia menjadi lebih baik dalam beberapa bahagian, antaranya adalah:
- Petronas dapat jana pendapatan tambahan – susulan syarikat terlibat akan membayar yuran akses untuk infrastruktur gas dibawahnya
- Melandaikan risiko kerugian, yang mana Petronas tidak lagi menjadi satu-satunya pengimport LNG di pasaran
- Bekalan gas kekal terjamin susulan industri gas terdapat lebih ramai pemain
- Pelaburan pada industri gas hiliran menjadi lebih tinggi di pasaran hadapan