Setelah berjaya merealisasikan fasa pertama dengan membolehkan pelancong Kemboja berbelanja di Malaysia dengan akses DuitNow QR menerusi aplikasi Bakong dan Maybank – kini giliran pengguna Malaysia pula meraih manfaat tersebut, apabila Malaysia dan Kemboja secara rasminya melanjutkan akses tersebut pada fasa kedua.
Menerusi sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC), pengguna Malaysia kini boleh berbelanja di Kemboja dengan hanya mengimbas KHQR menerusi aplikasi pembayaran Maybank. Dengan perluasan akses kedua penduduk negara ini, ia tidak sekadar merancakkan lagi transaksi nirtunai di pasaran tetapi turut menguntungkan lebih 7 juta peniaga di Malaysia serta Kemboja.
Dengan perluasan jejak akses ini, ia akan mengukuhkan lagi penyertaan negara Asia pada arena ekonomi digital semasa. Selain lanjutan tersebut, NBC turut dimaklumkan secara rasmi menyertai Malaysia pada insiaitif rangkaian pembayaran serantau (RPC). Ini menjadikan jumlah anggota RPC meningkat kepada 9 negara anggota termasuklah bank pusat Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei dan Lao PDR.