Artikel

Malaysia Nafi Kenakan Tarif 47% Import AS, Sebaliknya Sekitar 5.6% – MITI

Malaysia hari ini menyelar dakwaan Amerika Syarikat (AS), yang memaklumkan negara mengenakan tarif 47% ke atas barangan import AS ke Malaysia – sedangkan sebaliknya secara purata sekitar 5.6% sahaja pengenaan tarif dilaksanakan Malaysia ke atas import AS.

Jelas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada sidang media sebentar tadi, pentadbiran negara secara tegas tidak bersetuju akan pendekatan AS dalam pengiraan isu tarif ini. Asas pengiraan tersebut diperhatikan kurang tepat dan kesannya Malaysia terpaksa berdepan tarif timbal balas pada kadar 24%.

Berikutan percanggahan itu, pentadbiran kini dalam usaha mendapatkan penjelasan AS berhubung pelarasan tarif import tersebut dan ketika ini perbincangan bersama Duta AS turut telah dilaksanakan MITI bagi menambahbaik keputusan pengenaan tarif tersebut.

Menerusi usaha ini, MITI menyasarkan Malaysia kekal meraih akses perdagangan yang terbuka tanpa tekanan kos sebagaimana yang sedang berlaku ketika ini. Maka dengan jangkaan itu, Malaysia tidak akan mengenakan sebarang tarif timbal balas ke atas AS pada pasaran semasa.

Secara menyeluruh, negara akan melaksanakan beberapa langkah strategik antaranya akan terlibat pada sidang mesyuarat khas antara Menteri Ekonomi seluruh ASEAN pada 10 April ini, bagi membincangkan status impikasi negara terlibat susulan tindakan tarif import AS itu.