Artikel

Gagal Patuhi Peraturan, Tindas Hak Pembeli – KPKT Kini Senarai Hitam 109 Pemaju Hartanah Di Malaysia

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini memaklumkan sejumlah 109 pemaju hartanah di pasaran negara telah disenaraihitam, kesan kegagalan mereka dalam mematuhi peraturan untuk melindungi kepentingan pembeli rumah.

Sejumlah 471 notis telah dikeluarkan sejak tahun lalu dengan jumlah denda RM9.03 juta. Manakala bagi tempoh 2 bulan pertama 2025 pula sekitar 556 kompaun telah dikenakan bersama rekod denda RM1.25 juta.

Menerusi makluman itu, kumpulan pemaju yang terlibat tidak akan layak untuk memohon lesen baharu sehingga tunggakan denda dilunaskan.

Sebagai perincian, tindakan ini antaranya meliputi pelanggaran peraturan seperti kegagalan mengemukakan laporan status pembangunan serta mengemukakan laporan audit dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa. Ketidakpatuhan ini sekaligus memberi kesukaran kepada kumpulan pembeli dan menindas hak pengguna pada proses perolehan kediaman berlangsung.

Maka untuk memastikan semua kumpulan pembeli tidak berdepan sebarang penindasan, KPKT menyarankan pembeli untuk membuat semakan status lesen pemaju di laman rasmi TEDUH KPKT untuk tindakan keselamatan.