Artikel

Tarif 24% Amerika Syarikat – Ancaman Atau Peluang Untuk Ekonomi Malaysia?

Semua pihak sedia maklum, Amerika Syarikat (AS) telahpun mengeluarkan senarai pengenaan tarif timbal balik ke atas sebilangan negara termasuklah Malaysia dengan pengenaan 24% tarif ke atas barangan import dari Malaysia mulai 9 April 2025 ini. Melihat pada pengumuman tersebut, ia secara langsung telah memberi kesan pada kelangsungan aliran perdagangan kelak – di mana keadaan ini berpotensi meningkatkan tekanan kos dan mengugat sejumlah kategori pekerjaan di arena ekonomi.

Namun dengan pengenaan 24% tarif ini ke atas pasaran Malaysia, adakah ia benar-benar memberi ancaman yang besar pada negara? Atau sebaliknya memberi kesan kecil untuk jangka masa pendek dan membuka peluang ekonomi Malaysia untuk berubah di masa hadapan? Mari Rnggt jelaskan antara faktor yang boleh menjadi tumpuan umum.

Cabaran Pasaran Malaysia:

Eksport Malaysia Berpotensi Susut 10%

Dengan kedudukan ke-40 dalam carta pengenaan tarif oleh AS, status ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia antara negara yang berdepan pengenaan tarif tinggi berbanding pengenaan tarif asas sekitar 10%. Biarpun kedudukan ini jelas lebih rendah berbanding dengan sebilangan negara serantau yang lain seperti Vietnam (46%), Thailand (36%) dan Indonesia (32%) – ia kekal menimbulkan tekanan ke atas pemain ekonomi semasa.

Pengenaan kadar tarif itu secara jelas akan menjadikan produk Malaysia lebih mahal di pasaran AS dan berupaya mengurangkan daya saing pemasarannya di samping berpotensi menurunkan 10% permintaan eksport Malaysia berdasarkan ramalan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF). Susulan pengeluaran lebih perlahan akan berlaku dan mengakibatkan berlakunya pengurangan aliran import melibatkan barangan dagangan pengantara seperti peralatan jentera dan pembuatan logam.

Keadaan akan jadi lebih sukar sekiranya tekanan permintaan ini turut berlaku dari rakan negara serantau seperti Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan China yang turut berdepan tekanan tarif import yang tinggi.

Tidak Sekadar Perdagangan, Pekerjaan Di Malaysia Berupaya Terjejas

Selain pemasaran produk Malaysia menjadi kurang kompetatif di AS, aliran pekerjaan di Malaysia mungkin akan berdepan tekanan susulan permintaan semakin berkurang dan pengeluaran produk lebih lemah. Di mana situasi ini akan berisiko membawa kepada penamatan pekerjaan ke atas sebahagian kumpulan pekerja.

Umum perlu sedari, sebilangan syarikat negara memiliki tahap kebergantungan pasaran yang tinggi pada permintaan AS. Namun kesan kos yang lebih mahal dan jangkaan penurunan pendapatan secara langsung akan menjejaskan keupayaan operasi untuk menampung tenaga kerja yang sama di masa hadapan. Antara sektor yang dijangka berdepan tekanan tersebut adalah melibatkan industri pembuatan.

Pengguna Berdepan Tekanan Harga, Sekiranya Perniagaan Tidak Menyerap Kenaikan Kos

Apabila perniagaan berdepan kenaikan kos, ia secara terus berupaya mengubah aliran inflasi menjadi lebih tinggi di pasaran dan keadaan ini akan membawa kepada penurunan kuasa beli pengguna. Ia bermakna sekiranya firma dan perniagaan terlibat tidak bertindak menyerap kenaikan kos perniagaan tersebut maka kesannya pengguna akan berdepan tekanan harga.

Berlandaskan potensi kesan itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka akan mengalami kemerosotan sekitar -1.5% pada tahun ini. Tetapi kesan pengurangan import dilihat tidak akan mengugat sasaran negara untuk mencapai pertumbuhan ekonomi sehingga 5.5% pada tahun ini. Perkembangan itu antaran lain akan kekal disokong hasil aktiviti ekonomi domestik.

Peluang Ekonomi Malaysia:

Kurangkan Kebergantungan Malaysia Pada AS

Biarpun pengenaan 24% tarif AS ini secara jelas akan menyukarkan sentimen pasaran Malaysia untuk jangka masa pendek, tindakan itu diperhatikan turut memiliki kebaikannya tersendiri. Di mana membuka peluang buat negara untuk mengurangkan kebergantungan pada pasaran AS.

Buat pengetahuan umum, AS adalah antara rakan dagang utama Malaysia dengan kedudukan kedua bersama rekod jumlah eksport sekitar RM196.6 bilion pada tahun 2024. Manakala berdasarkan rekod import Malaysia dari AS pula adalah mencapai nilai RM126.3 bilion iaitu mewakili 9.2% daripada jumlah import negara. Rekod tahun lalu ini menjadikan ia sebagai negara ketiga terbesar aliran import Malaysia.

Maka dengan pengenaan tarif tersebut, situasi ini wajar dijadikan peluang buat Malaysia untuk mempelbagaikan pasaran eksport dan import negara dengan mencari pasaran alternatif di rantau lain. Dengan tindakan itu, ia sekaligus tidak hanya mengehadkan tekanan kos tetapi turut membantu Malaysia mengukuhkan lagi kedudukan negara pada rantaian dunia. Untuk makluman, Malaysia kini dalam usaha melaksanakanĀ Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan Malaysia di pasaran global.

Buka Laluan Malaysia Perluas Perdagangan Serantau, Perjanjian Ekonomi Bebas Baharu

Seperti yang umum ketahui, Malaysia sememangnya miliki perjanjian perdagangan bebas (FTA) bersama negara luar – dengan keadaan semasa tindakan rundingan ini dilihat wajar diperluaskan bagi membentuk pakatan FTA baharu. Dengan langkah ini, ia sekaligus membantu negara merangsang aliran ekonomi dengan kepelbagaian aliran eksport selain AS.

Tidak hanya itu, Malaysia juga perlu mengukuhkan lagi kerjasama dengan negara serantau antaranya menerusi RCEPRegional Comprehensive Economic Partnership serta CPTPP iaitu kerjasama negara rantau Asia Pasifik untuk membolehkan lebih banyak peluang ekonomi dapat diteroka di masa hadapan. Pada tindakan itu, ia memberi jaminan kepada pertumbuhan negara untuk kekal konsisten dalam suatu jangka masa panjang.

Industri Tempatan Perlu Tingkatkan Nilai Tambah Produk Malaysia

Untuk terus kukuhkan penyertaan Malaysia pada arena semasa, produk negara sewajar menerima sokongan yang tinggi memastikan penghasilan produk Malaysia memiliki nilai tambah yang lebih tinggi. Keperluan ini penting bagi menjamin daya saing permintaan produk negara terus tinggi dan relevan di pasaran antarabangsa.

Selaras dengan potensi ini, pentadbiran Malaysia menerusi kenyataan Kementerian Pelaburan (MITI) hari ini menjelaskan negara di bawah Pusat Kawalan Geoekonomi Kebangsaan (NGCC) akan menilai kesan disebalik tindakan AS tersebut. Ini meliputi langkah pertimbangan bersama pemain industri bagi mempertimbangkan strategi sokongan menyeluruh untuk mengurangkan kesan tarif ke atas ekonomi Malaysia.