Artikel

Pembayar Cukai Diminta Lunas Tunggakan Cukai, Elak Sekatan Ke Luar Negara Sempena Cuti Aidilfitri – LHDN

Sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman mahupun ke destinasi pelancongan luar negara adalah baiknya untuk penduduk di Malaysia membuat semakan dahulu. Ini termasuklah semakan berkaitan tunggakan cukai!

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini memberi peringatan kepada pembayar cukai untuk menyemak status dan melunaskan tunggakan cukai terlebih dahulu sebelum melaksanakan perjalanan ke luar negara. Ini kerana kegagalan berbuat demikian, berpotensi mengakibatkan pembayar cukai berdepan sekatan perjalanan.

Peringatan ini selaras dengan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 serta Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

Untuk makluman, tindakan sekatan perjalanan ini merupakan antara proses tindakan terakhir setelah pelbagai peringatan dan notis diberikan kepada kumpulan pembayar cukai berkaitan. Maka untuk memastikan tindakan tersebut tidak menjejaskan perjalanan pembayar cukai, disarankan untuk melunaskan tunggakan dengan merujuk laman rasmi LHDN di portal MyTax.