Selain produk jualan seperti barangan rumah mahupun pakaian, kini pengguna di Malaysia turut boleh menggunakan pilihan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) ketika membeli produk makanan. Terbaharu, Kentucky Fried Chicken (KFC) menerusi QSR PayFlex memaklumkan pengguna di Malaysia kini boleh membeli pesanan makanan KFC dengan ansuran 3 kali pembayaran sahaja!
Bersama sokongan Boost Credit dengan jaminan patuh syariah, pengguna boleh laksana bayaran ansuran dalam tempoh 3 bulan dengan pembelian minimum RM10. Sekiranya harga pembelian bawah daripada paras tersebut, maka pilihan pembayaran ini tidak dapat dilaksanakan.
Namun semua pihak perlu ketahui, bagi pembelian di bawah RM100, KFC menjelaskan pengguna akan dikenakan yuran wakalah RM5 sementaran pembelian lebihi RM100 maka yuran wakalah yang perlu dibayar adalah RM10.
Manakala jika pengguna tidak melunaskan pembayaran pada tempoh yang ditetapkan – maka 1% daripada jumlah transaksi BNPL itu akan dikenakan setiap hari ke atas pengguna sehingga baki bulan tersebut dilangsaikan. Oleh itu, semua pengguna disarankan untuk mematuhi aliran pembayaran tanpa meningkatkan kadar hutang makanan anda bersama KFC!
Secara menyeluruh untuk pengguna nikmati ciri ini, semua pengguna boleh ke laman KFC – QSR PayFlex. Setelah mendaftar, pengguna perlu melengkapkan maklumat diri dengan input kad pengenalan dan kad debit, seterusnya boleh mengimbas kod QR yang terpapar di akaun anda dan boleh menggunakan kaedah pembayaran ini pada mana-mana cawangan KFC di seluruh Malaysia.
