Artikel

Kanta Lekap, Alat Optik Dilarang Jual Secara Atas Talian 

Sekiranya anda seorang pengguna kanta lekap mahupun memiliki peralatan optik – untuk makluman kedua produk ini adalah tidak dibenarkan atau dilarang dijual secara atas talian. Ini bermakna segala pembelian kedua produk tersebut haruslah melibatkan pengesahan dari Juru Optik atau Optometris yang berdaftar sebagaimana tertakluk di dalam Akta Optik 1991.

Jelas Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), kedua produk ini merupakan peranti perubatan yang dikawal di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737). Maka penjualan kedua produk ini perlu memenuhi semua kriteria pendaftaran sama sebelum diimport dan dan diletakkan di pasaran Malaysia.

Malah kanta lekap dan alat optik ini untuk pengetahuan umum dikategorikan sebagai prescribed medical device – di mana pengguna perlu mendapatkan preskripsi yang disediakan oleh Juru Optik dan Optometris yang berdaftar. Kriteria ini antara lain melarang kedua produk tersebut dijual secara atas talian.

Sekiranya didapati terdapat pihak menjalankan aktiviti tersebut tanpa kelulusan MDA dengan melanggar pematuhan Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019 boleh dikenakan denda tidak lebihi RM200,000 atau dipenjara tidak lebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Secara menyeluruh, dengan larangan penjualan kanta lekap dan alat optik secara atas talian ini – ia tidak mematuhi piawaian perundangan tetapi untuk melindungi kesihatan dan keselamatan penglihatan pengguna di pasaran semasa. Oleh itu sebarang pembelian alat optik dan kanta lekap perlulah mendapat nasihat optometris berdaftar untuk menjamin kesihatan pengguna.