Sepertimana yang dilaksanakan oleh syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa yang lain – kini giliran AirAsia pula mengemaskini peraturan polisi penggunaan powerbank atau pengecasan bateri mudah alih mereka bersama pengguna.
Mulai 1 April 2025 ini, penumpang AirAsia dilarang menggunakan power bank di dalam semua penerbangan mereka.
Langkah ini selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan global untuk mengurangkan risiko kemalangan berkaitan pengecasan bateri ketika penerbangan berlangsung.
Para penumpang hanya dibenarkan untuk membawa power bank yang tidak lebihi 100Wh atau 20,000mAh sahaja. Sementara power bank antara 100Wh-160Wh pula perlu mendapatkan kelulusan syarikat penerbangan di kaunter daftar masuk.
Untuk lebih memahami pelarasan peraturan tersebut, ini antara langkah keselamatan yang digariskan AirAsia:
-
Bateri mudah alih mesti disimpan di dalam poket tempat duduk di hadapan atau di bawah tempat duduk
-
Bateri mudah alih dilarang disimpan di dalam ruang penyimpanan atas
-
Bateri mudah alih dilarang digunakan sepanjang penerbangan
-
Bateri mudah alih dilarang digunakan untuk mengecas peranti elektronik mudah alih lain sepanjang penerbangan
-
Bateri mudah alih dilarang dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk dan mesti dibawa ke dalam kabin