Kerajaan buat masa ini, tidak bercadang untuk laksanakan caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur ke atas pengguna kenderaan persendirian. Caj tersebut untuk makluman masih di peringkat kajian susulan mengambil maklum akan usul dari semua pihak – bagi mengatasi isu kesesakan jalan yang kian meruncing di ibu kota negara.
Tegas Kementerian Pengangkutan (MOT) pada sidang Dewan Negara hari ini, memperincikan ketika ini tiada pengenaan caj kesesakan akan dikuat kuasakan. Kajian menyeluruh dan secara mendalam perlu dilaksanakan untuk memastikan langkah lanjut akan usaha mengurangkan kesesakan jalan raya di negara tidak membebankan rakyat Malaysia – khususnya bebanan yang melibatkan kos tambahan seperti caj kesesakan.
Tindakan kajian itu antara lain turut melibatkan langkah pemantauan yang dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC). Di mana kedua pihak ini berperanan memantau jumlah trafik serta penggunaan pengangkutan awam pada pasaran semasa.
Menerusi pemahaman ini, pihak berkuasa akan lebih memahami kelompongan yang terdapat pada isu kesesakan semasa di samping tampil dengan pendekatan pelaksanaan baharu.
Berbalik kepada kerunsingan akan pengenaan caj kesesakan tersebut, MOT menegaskan perihal itu hanya akan dilaksanakan setelah sistem pengangkutan awam negara di tahap terbaik sebagaimana yang dipraktikkan oleh negara maju yang lain.