Artikel

Malaysia Dijangka Hasilkan 24.5 Juta Unit Sisa Elektronik – Pada 2025

Semakin berkembangnya segmen teknologi maka semakin tinggi potensi pada penghasilan sisanya. Tahukah anda untuk tahun 2025, dijangka penghasilan sisa elektronik (e-waste) berupaya mencecah 24.5 juta unit yang mewakili 284,941.2 tan metrik.

Jangkaan itu ternyata lebihi jumlah sisa yang direkodkan pada 2024 sekitar 23.8 juta unit.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada sidang Dewan Negara hari ini menjelaskan jumlah pengumpulan tersebut ternyata masih lagi rendah memperlihatkan tahap kesedaran kalangan pengguna negara berkaitan pengurusan e-waste masih lagi rendah. Sekiranya dilihat pada taburan negeri, untuk Selangor sahaja sekitar 10% daripada 500 tan metrik sisa domestik yang dibuang setiap hari adalah merupakan sampah elektronik.

Maka untuk meningkatkan kesedaran tersebut, NRES melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah merangka pelan Communication, Education and Public Awareness (CEPA) bagi menyebarluaskan kepentingan akan pendekatan pengurusan e-waste yang lebih baik. Usaha ini secara terus membantu meningkatkan aktiviti pengumpulan e-waste di Malaysia.

Selain pelan itu, pelaksanaan Hari Pengumpulan e-waste turut dilaksanakan pada setiap hari Sabtu pada minggu akhir setiap bulan bersama pengguna. Langkah ini membantu dengan mewujudkan pusat-pusat pengumpulan baharu di seluruh negara. Untuk mengetahui lokasi pusat pengumpulan sisa tersebut, semua pengguna boleh merujuk pada aplikasi MyEwaste dan pada tindakan itu pengumpulan sisa dapat diasingkan mengikut kategori jenis barang.

Malah terbaharu, NRES kini dalam usaha membangunkan Mekanisme Pengurusan e-Waste, di mana untuk fasa pertama sisa elektronik yang bakal dikawal adalah sekitar 6 item iaitu televisyen, komputer riba, mesin basuh, penyaman udara, telefon pintar dan peti sejuk. Kaedah sistem ini akan menuntut pihak pengeluar bertanggungjawab untuk pastikan produk yang dihasilkan secara mesra alam setelah produk itu mencapai jangka akhir hayat.