Kesan tekanan kos dan kejutan kewangan, tahun 2024 memperlihatkan masih ramai rakyat Malaysia yang tidak bersedia untuk hadapi situasi tersebut dengan 61% rakyat akui berdepan kesukaran untuk menyimpan sekurangnya RM1,000 bagi keperluan kecemasan.
Untuk makluman, peratusan di bawah tinjauan Bank Negara Malaysia (BNM) pada laporan rangkuman kewangan FCI 2024 ini menunjukkan lonjakan berbanding tahun sebelumnya. Di mana tahun 2015, sekitar 76% tidak mampu menyimpan dana kecemasan RM1,000 diikuti 2018 (52%) dan 2021 (47%). Namun tahun lalu, peratusan tersebut kembali meningkat.
Perihal ini didorong akan keperluan komitmen bulanan telah mengehadkan kapasiti rakyat untuk menyimpan dengan lebih tinggi. Selain daripada faktor itu terdapat beberapa krisis kewangan lain yang turut didepani rakyat Malaysia pada tahun lalu, antaranya adalah:
- 37% rakyat mampu tampung kos sara hidup untuk tempoh lebih 3 bulan sahaja jika pendapatan mereka terjejas
- 18% rakyat sahaja mampu menampung kos sara hidup untuk tempoh lebih 6 bulan jika pendapatan terjejas
- 35% rakyat akui tidak miliki perlindungan kewangan yang mencukupi sekiranya berdepan bencana
- 40% rakyat akui bergantung sepenuhnya pada simpanan sendiri atau keluarga jika berdepan isu kemalangan, hilang pendapatan atau kecemasan
Selain komitmen bulanan, tabiat berbelanja secara berlebihan pada medium atas talian juga dilihat turut membawa kepada situasi kekurangan wang ke atas sebilangan rakyat Malaysia. Menurut BNM, tahun 2024 menunjukkan sekitar 31% rakyat cenderung untuk berbelanja lebih tanpa berfikir panjang secara atas talian berbanding apabila mereka berbelanja di kedai fizikal.
Malah 37% rakyat Malaysia juga gemar membeli barangan dan perkhidmatan yang tidak penting pada medium atas talian. Tindakan itu sekaligus merencatkan kapasiti simpanan mereka dan menjejaskan tahap kesejahteraan kewangan tatkala diperlukan ketika waktu kecemasan.
Melihat pada data ini, BNM secara tegasnya menuntut semua rakyat dan penduduk di Malaysia untuk tingkatkan tahap pengurusan kewangan individu tidak sekadar memahami akan kesan disebalik perbelanjaan tinggi tetapi turut melaksanakan displin dalam pengawalan penggunaan wang. Usaha ini tidak sekadar membantu individu tetapi turut melandaikan peratusan hutang di Malaysia secara berkala.