Artikel

Mulai April, Prudential Akan Laras Caj Insurans Perubatan – Kesan Jumlah Tuntutan Naik 19.6%

Tahun ini memperlihatkan jumlah tuntutan insurans perubatan alami meningkat secara purata sekitar 19.6% – maka seiring dengan kenaikan kos semasa, perihal itu kelak akan membawa kepada semakan semula Prudential berhubung penawaran pelan perubatan dan caj insurans semasa ke atas pemegang polisi perubatan mereka.

Berdasarkan notis yang dikongsi, 74 daripada 1,000 pemegang polisi telah membuat tuntutan di bawah pelan PRUHealth berbanding 62 tahun lalu. Setiap tuntutan menyaksikan berlakunya peningkatan purata sebanyak 3.9%, melibatkan RM14,113 kepada RM14,664. Kos ini dilihat lebih besar berikutan terdapatnya inflasi perubatan dalam tempoh 3 tahun – yang meningkat pada kadar 5.1% setahun sekaligus menjadikan kenaikan menyeluruh sekitar 23.6%.

Tindakan Prudential ini bertujuan untuk menambahbaik dan memastikan penawaran pelindungan yang berpatutan dapat diraih oleh pemegang polisi bermula bulan hadapan. Berikutan tindakan itu, pihaknya menjelaskan peningkatan caj ini tertakluk kepada rekod tuntutan pemegang polisi.

Ini bermakna sekiranya pemegang polisi tidak memiliki sebarang tuntutan maka kumpulan ini akan berdepan peningkatan caj terendah sekitar 4%. Sementara kumpulan yang memiliki tuntutan rekod akan alami kenaikan premium sehingga 30%.

Tidak hanya itu, pemegang polisi turut akan miliki pilihan alternatif sekiranya ingin mengurangkan peningkatan caj tersebut, iaitu dibolehkan mengurangkan manfaat polisi mahupun melanjutkan lagi kekerapan pembayaran pada polisi perubatan.