Susulan terdapat kekeliruan berhubung pelaporan yang memaklumkan berlakunya isu penyeludupan dan kenaikan harga telur ayam kesan krisis bekalan di Amerika Syarikat (AS) – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) secara tegasnya menjamin, di mana bekalan telur ayam di pasaran domestik kekal stabil dan mencukupi.
Bagi yang tidak tahu, ketika ini AS sedang berdepan kekangan bekalan telur berikutan wabak selsema burung H5N1 yang dilihat semakin melonjak. Kesan situasi itu ia membawa kepada pengurangan bekalan telur dan meningkat permintaan pasaran. Maka AS dijangka akan meluaskan inisiatif import telur dari negara luar, setakat ini Turkiye dan Korea Selatan antara pihak yang akan menyalurkan bekalan tersebut.
Setakat ini perihal itu tidak memberi kesan pada bekalan dan pasaran Malaysia, namun KPKM sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas pengeluaran dan pengedaran telur ayam di peringkat ladang hingga ke pengguna. Antaranya selain pemantauan secara strategik bersama pihak agensi dalam aktiviti eksport, pentadbiran juga dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan secara berkala.
Berlandaskan notis jaminan tersebut, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan ke atas sentimen harga mahupun bekalan susulan kekeliruan yang timbul.