Artikel

Inflasi Malaysia Mereda 1.5% – Tetapi Kos Makanan, Minuman Kekal Tinggi

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang juga penanda kepada paras inflasi di Malaysia, kini memaparkan peningkatan yang lebih kecil apabila paras inflasi pada Februari 2025 sedikit mereda kepada 1.5% berbanding 1.7% sebelum ini.

Kenaikan yang lebih perlahan ini menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) didorong oleh peningkatan kecil pada segmen kos Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api (2.3%), diikuti Rekreasi, Sukan dan Kebudayaan (1.5%), Kesihatan (1.0%), Pengangkutan (0.7%) dan Penyelenggaraan Isi Rumah dan Hiasan (0.3%). Segmen kos pada Pendidikan dan Insurans, Khidmat Kewangan pula memaparkan peningkatan lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Manakala berkaitan segmen makanan dan minuman pula, secara menyeluruh menyumbang 29.8% daripada wajaran IHP dengan kenaikan 2.5% pada Februari lalu. Di mana sub Makanan di Rumah telah meningkat 0.5%. Keadaan menurut DOSM berlaku kesan kenaikan harga kelapa di pasaran Malaysia yang meningkat sejak Oktober 2024. Namun sebaliknya sub Makanan di Luar Rumah pula dilihat peningkatan kosnya lebih sederhana dengan 4.6% berbanding 5.0% sebelum ini.

Selanjutnya taburan mengikut negeri pula – terdapat 4 negeri merekodkan paras inflasi yang tinggi iaitu Johor (2.1%), Sarawak (1.9%), Selangor (1.95) dan Melaka (1.6%). Biarpun hanya 4 negeri memaparkan paras inflasi yang lebih tinggi berbanding paras nasional, namun kesemua negeri di Malaysia untuk makluman berdepan kenaikan kos makanan dan minuman.

Sementara taburan mengikut rantau pula, inflasi di Malaysia terus menjadi antara yang terendah berbanding Vietnam (2.9%) dan Filipina (2.1%). Tetapi lebih tinggi jika dibanding dengan Thailand (1.1%), Indonesia (-0.1%) dan China (-0.7%).