Setelah menambah ciri ShopeePay pada medium e-dagang mereka – Shopee kini memaklumkan langkah baharu mereka dengan mengasingkan ciri tersebut kepada aplikasi khusus, tunggal ShopeePay, yang ketika ini boleh dimuat turun pada App Store dan Google Play Store.
Menerusi langkah pengasingan aplikasi ini, ia secara langsung memudahkan pengguna Shopee melunaskan aliran kewangan mereka bersama beberapa kemudahan perkhidmatan. Antaranya pembayaran bil telefon, perolehan insurans kenderaan, PTPTN, bil Astro dan terdapat juga ciri perkongsian wang bersama pihak yang lain.

Akses ini juga tidak sekadar memudahkan aliran pembayaran komitmen pengguna tetapi pendekatan pembayaran secara imbasan kod QR juga dapat dilaksanakan secara terus tanpa perlu pengguna melalui lapisan ciri lain sebagaimana yang terdapat pada aplikasi Shopee.
Untuk makluman umum, para pengguna yang telah memiliki akaun di Shopee boleh laksana log masuk secara terus pada aplikasi ShopeePay ini dengan memilih Teruskan dengan Shopee di Aplikasi ShopeePay. Namun sekiranya masih tiada akaun, pengguna boleh memilih pilihan daftar akaun pada aplikasi ShopeePay.
Biarpun kemudahan aplikasi ShopeePay kini telah dilaksanakan, pengguna tidak perlu khuatir – ciri tersebut akan kekal tersedia di aplikasi Shopee sekiranya anda tidak mahu memuat turun aplikasi khusus tersebut.