Artikel

CTOS Seru Semak Skor Kredit – Kini 53,000 Orang Muda Bawah 30 Tahun Dibebani Hutang RM1.9 Bilion

Kemudahan akses kewangan tidak sekadar meringankan bebanan sebilangan pihak tetapi sebenarnya turut meningkatkan bebanan mereka sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Tahukah anda ketika ini terdapat 53,000 orang muda yang berusia bawah 30 tahun berdepan beban hutang RM1.9 bilion di Malaysia?!

Data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ini menurut CTOS menjelaskan perihal itu didorong kesan aktiviti gaya hidup yang mahal serta pengurusan pinjaman yang lemah telah membawa kepada paras hutang yang tinggi. 

Memahami kesulitan itu, CTOS di bawah kempen Kredit Kau Hijau? Chek Luuu! Kini diaktifkan bagi membantu rakyat Malaysia khususnya kumpulan belia untuk lebih bijak mengurus kewangan dan kekal di landasan yang betul dalam mengawal skor kredit mereka.

Adanya semakan skor kredit secara berkala dan penambahbaikan dalam pelunasan hutang, CTOS memaklumkan tahap kesejahteraan pengguna di Malaysia akan lebih baik. Ini kerana skor kredit adalah cerminan kepada individu dalam melaksanakan tanggunjawab pengurusan kewangan mereka. Maka untuk nikmati tahap kesejateraan kewangan yang baik, ini antara langkah pengurusan wang yang wajar diterapkan oleh setiap pengguna:

  • Asingkan perbelanjaan mengikut kategori komitmen dan tetapkan had berbelanja supaya individu tidak melangkaui bajet semasa
  • Tetapkan pemindahan wang secara automatik untuk Tabung Simpanan, bagi memastikan bahagian simpanan kekal tersedia untuk kemudahan masa hadapan
  • Pantau skor kredit secara berkala dengan laporan MyCTOS Score, sekurangnya pada setiap tahun bagi memahami aliran tunai dan kadar hutang yang ditanggung memenuhi kemampuan semasa atau tidak.

Menerusi saranan tersebut, semua pengguna Malaysia boleh layari laman rasmi CTOS untuk sertai semakan skor kredit di bawah Kredit Kau Hijau dan dapatkan laporan menyeluruh berkenaan status pengurusan kewangan anda.