Artikel

Pos Malaysia Jangka 200,000 Kiriman Kad Ucapan Raya Direkodkan – Sempena Aidilfitri 2025

Ternyata medium tradisional ketika musim perayaan iaitu tindakan kiriman kad raya pada era ini masih lagi relevan. Berdasarkan permintaan semasa, Pos Malaysia menjangkakan tahun ini sekitar 200,000 kiriman kad ucapan raya berupaya direkodkan sebagaimana yang diraih pada tahun lalu.

Mengikut laporan Pos Malaysia, pihaknya akui kesan penggunaan aplikasi media sosial yang semakin tinggi ketika ini telah menjadikan pilihan kiriman kad ucapan raya secara tradisional tidak lagi menjadi saluran utama buat kalangan pengguna. Biarpun begitu, masih terdapat sebilangan pengguna yang kekal memilih untuk mengutuskan ucapan tersebut secara tradisional.

Maka untuk merancakkan kembali budaya tersebut, Pos Malaysia kini tampil dengan penawaran Poskad Raya bagi memudahkan pengguna untuk melaksanakan kiriman kad ucapan dengan rekaan kad yang menarik. Selain tidak memerlukan sampul raya, poskad ini turut ditawarkan pada harga RM3 sahaja.

Lanjutan penawaran poskad raya ini menurut Pos Malaysia berikutan permintaan yang menggalakkan diraih pada tahun lalu. Maka dengan pendekatan ini, akan lebih ramai pengguna memilih perkhidmatan tersebut. Buat pengetahuan umum, permintaan kiriman kad ucapan raya telah alami penurunan secara berkala namun paling sedikit direkodkan adalah pada tempoh COVID-19 dengan rekod hanya 98,000 sahaja.