Artikel

WISE: Rakyat Malaysia Hilang RM2.99 Bilion, Kesan Caj Tersembunyi Pada Tukaran Asing

Tahun 2023 memperlihatkan rakyat Malaysia berdepan kerugian yang besar – di mana tanpa sedar telah kehilangan sekitar RM2.99 bilion, kesan fi tersembunyi pada tindakan pertukaran asing (FX). Tahukah anda dengan jumlah ini, ia cukup untuk membelikan setiap rakyat Malaysia secawan teh tarik setiap hari selama sebulan!

Mengikut tinjauan WISE bersama YouGov ini, sekitar 76% rakyat Malaysia yang membuat pemindahan wang ke luar negara percaya mereka ‘sepenuhnya’ memahami akan penglibatan kos pada proses pembayaran tersebut namun hanya 18% daripada mereka menyedari terdapatnya caj tersembunyi yang sekaligus memberi kesan kerugian kepada pemindahan wang tersebut.

Misalnya pemindahan antarabangsa libatkan $1,000 (sekitar RM4,424) yang diiklankan sebagai “tanpa yuran” sebenarnya menurut WISE boleh menelan kos sebanyak RM159 dalam caj pertukaran FX sekiranya margin 3.6% dikenakan. Biarpun kebanyakan penyedia memaparkan pengenaan yuran tapi masih ramai yang menambah caj tersembunyi pada kadar pertukaran asing – kesannya pengguna perlu membayar lebih daripada yang difahami.

Berdasarkan aliran pemindahan wang kalangan rakyat Malaysia, saluran PayPal mendahului senarai dengan 52% rakyat menggunakannya, diikuti bank (44%) dan Western Union (33%).

Berikutan situasi ini, WISE menyarankan rakyat Malaysia untuk terus peka akan tindakan pemindahan wang ke luar negara di masa hadapan. Selain menitikberat terma dan syarat, pengguna perlu mengambil langkah perbandingan kadar pertukaran pertengahan sebagaimana yang boleh dilihat di paparan Google. Sebagai contoh $1 ke RM, dan bandingkan ia pada kadar pertukaran di medium penyedia. Selain itu pengguna perlu terus berwaspada akan dakwaan tanpa yuran mahupun yuran rendah.

Perihal ini akan membantu pengguna mengelak daripada kerugian dan meraih kadar terbaik ketika menghantar wang ke luar negara. Dengan langkah sedemikian, lebih banyak penjimatan dapat diperolehi oleh pengguna Malaysia.