Untuk memperkasakan lagi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) – Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini memaklumkan cadangan sekurangnya 70% pelajar di sekolah maktab dan berasrama penuh perlu memilih jurusan STEM mulai tahun hadapan sekiranya ingin memasuki persekolahan tersebut.
Langkah ini mengikut makluman PM Anwar menjadi antara tindakan yang dipertimbangkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meningkatkan minat pelajar pada bidang STEM.
PM Anwar menegaskan pemerkasaan ini penting selaras dengan kemasukan pelaburan teknologi yang semakin rancak di Malaysia. Seperti yang umum sedari, ketika ini negara memiliki tumpuan Infineon, NVIDIA, Google, Microsoft dan sokongan kecerdasan buatan (AI) di seluruh Malaysia sedangkan bakat muda masih lagi terlalu kecil.
Berbalik kepada cadangan tersebut, baki 30% pelajar maktab dan sekolah berasrama penuh pula dicadangkan memilih aliran seni liberal dan sains sosial. Keseimbangan ini penting bagi menjamin kebolehpasaran golongan muda di masa hadapan.