Artikel

Penyertaan Wanita Pada Pengurusan Kanan Di Malaysia, Kini Merosot Kepada 36.2% – Laporan

Perwakilan wanita dalam sektor ekonomi di Malaysia sememangnya dilihat terus meningkat, namun penyertaannya pada jawatan pengurusan tertinggi dilihat kian merosot. Menurut laporan Grant Thornton Women in Business penurunan secara berkala itu berlaku dengan 2023 sekitar 40.4% menurun kepada 39.4% pada 2024 dan untuk tahun ini sekitar 36.2%. 

Antara peranan yang memperlihatkan penurunan pada data tersebut adalah seperti pengurusan kanan dalam bahagian kewangan dan operasi – di mana wanita sebaliknya lebih mengungguli peranan di bahagian sumber manusia (57%) dan pemasaran (36%) pada peringkat pengurusan tertinggi.

Selain ketidakseimbangan itu, didapati jumlah syarikat yang langsung tidak memiliki wakil wanita pada kelompok pengurusan tertinggi operasi juga telah meningkat daripada 2.8% pada 2024 kepada 9.3% sekitar 2025 di pasaran Malaysia. Rekod ini secara jelas menunjukkan tahap keyakinan dan kemahiran yang diperlukan operasi di Malaysia masih rendah.

Berbeza dengan negara serantau yang lain berbanding Malaysia – Thailand memaparkan peningkatan pada penyertaan wanita dalam struktur ekonomi semasa dalam pengurusan tertinggi dengan peratusan 43.1%, diikuti Filipina (43%), Vietnam (37.4%) dan Indonesia, Singapura (36.3%).