Bertepatan dengan kemajuan sokongan teknologi digital semasa, aliran pasaran e-dagang di pasaran Asia Tenggara dijangka melonjak mencapai $325 bilion menjelang 2028.
Sasaran ini mengikut tinjauan IDC Corp, berupaya dicapai berikutan lebih ramai pengguna Asia Tenggara menggunakan saluran pembayaran digital sebagai pendekatan utama mereka ketika berbelanja. Malah kebolehcapaian internet yang terus meluas turut membantu ramai pengguna memiliki pendedahan akan kemudahan medium tersebut.
Selain prestasi membrangsang itu, aliran pembayaran rentas sempadan antara negara Asia Tenggara juga dilihat semakin menggalakkan. Dengan sasaran peningkatan 2.8 kali ganda kepada $14.6 bilion berbanding tahun 2023. Perihal ini tidak sekadar didorong akan sokongan pengguna dalam memanfaatkan pembayaran melalui imbasan kod QR tetapi penyertaan peniaga untuk menawarkan akses tersebut bersama pengguna turut merancakkan lagi aliran perbelanjaan negara.
Melalui perkembangan ini, ia sekaligus akan membantu pasaran Asia Tenggara untuk menerajui pasaran global dalam pendekatan ekonomi digital dan sekaligus merealisasikan matlamat untuk tampil selaku hab global bagi medium e-dagang serta peneraju dalam sektor digital.
Sebagai perincian, aliran e-dagang Malaysia menjadi antara pemain yang akan meraih peningkatan prestasi menjelang 2028 kelak dengan perkembangan $14.7 bilion – didorong hasil sokongan pengguna dan keterbukaan peniaga fizikal meluaskan penawaran mereka ke platform atas talian.