Jumlah penganggur Malaysia terus merekodkan penurunan, apabila kadar pengangguran kekal di paras 3.1% dengan seramai 533,800 penganggur di pasaran semasa setakat Januari 2025.
Penurunan ini didorong akan kedudukan ekonomi yang semakin positif susulan permintaan domestik yang kukuh bersama kemasukan pelaburan yang membrangsangkan – telah membuka peluang untuk negara meneroka peluang baharu pada pasaran ekonomi.
Melihat pada prestasi ini, secara langsung telah membawa kepada peningkatan jumlah penduduk bekerja di Malaysia kepada 16.68 juta individu. Sebagai pecahan, daripada jumlah tersebut sekitar 75.3% iaitu 12.56 juta individu adalah berstatus pekerja, manakala 3.11 juta (18.6%) pula adalah mereka yang bertindak bekerja sendiri diikuti 3.3% pula berstatus majikan dan 2.8% pula bekerja dengan keluarga.
Dengan prestasi berterusan ini, DOSM menyasarkan pasaran buruh di Malaysia akan terus stabil – disusuli peranan Malaysia selaku pengerusi ASEAN ketika ini, tahap keyakinan perniagaan yang lebih baik, kemasukan pelancongan yang aktif serta perkembangan pembangunan negara yang baik berupaya mengukuhkan sentimen ke atas pelabur di pasaran semasa.
Perihal ini sekaligus akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor utama seperti teknologi, pembuatan dan perkhidmatan di pasaran hadapan serta selanjutnya merealisasikan matlamat negara mencapai kadar pengangguran 3% pada tahun ini.
