Kadar penggunaan BNPL, Bayar Nanti Pakai Lekas di Malaysia ternyata terus memaparkan peningkatan apabila seramai 5.1 juta pengguna aktif direkodkan setakat akhir 2024.
Menurut notis di Dewan Negara, separuh kedua 2024 menunjukkan nilai transaksi BNPL di Malaysia telah melonjak kepada RM7.1 bilion. Jumlah ini secara jelas menunjukkan peningkatan ketara berbanding 6 bulan kedua pada 2023 dengan rekod RM4.9 bilion.
Majoriti pengguna aktif ini menurut Kementerian Kewangan (MOF) adalah kalangan golongan muda berusia 21 tahun sehingga 45 tahun. Perihal ini didasari akan kemudahan pengguna untuk melunaskan pembayaran secara mudah dan ansuran pada saluran nirtunai bersama 12 penyedia BNPL di negara ketika ini.
Biarpun kadar penggunaan ini dijelaskan masih terkawal, MOF tidak menafikan akan trend peningkatannya mampu meningkatkan lagi risiko keberhutangan penduduk di Malaysia.
Bertindak balas akan keperluan itu, MOF bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkuasa berkaitan kini dalam usaha melaksanakan Akta Kredit Pengguna yang baru sahaja dibacakan kali pertama pada 4 Mac lalu. Di bawah RUU tersebut, perlindungan menyeluruh akan disediakan ke atas pengguna melibatkan pemberi kredit bukan bank di pasaran semasa.
Selain itu, kempen kesedaran melibatkan perkongsian pendidikan kewangan, pengurusan tunai dan agensi kaunseling turut dilaksanakan secara berterusan. Bagi memastikan semua pengguna kekal memiliki akses untuk lebih memahami akan kesan disebalik melaksanakan hutang.